BUTTERWORTH, 15 April – Tanah Perkuburan Islam Berpusat Daerah Seberang Perai Utara (SPU) yang bernilai RM7 juta, dibeli oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang menerusi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), kini memasuki fasa pelaksanaan dan akan disiapkan secara berperingkat.
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, projek fasa pertama membabitkan kerja-kerja penambakan tanah seluas 1.5 ekar dengan kos sebanyak RM700,000, yang telah diluluskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Agama Islam.
“Alhamdulillah, kami telah putuskan untuk mengadakan majlis pecah tanah hari ini, dan kini projek sedang melalui proses perolehan oleh pihak JKR. Bila-bila masa saja ia boleh dimulakan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah di tapak projek di SPU, hari ini.
Beliau menjelaskan,sekiranya keluasan yang disediakan melalui fasa pertama dan kedua mencukupi, maka pembangunan akan dihentikan setakat 3.5 ekar.
Selebihnya, iaitu 1.5 ekar, boleh dimanfaatkan untuk tujuan lain berdasarkan keperluan semasa.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengarah JHEAIPP, Marzuki Mazlan dan Pengarah Jabatan Kerja Raya Pulau Pinang, Datuk Ir Ahmad Nadzri Abdul Majid.
Dalam masa yang sama, Dr Mohamad menegaskan bahawa tidak wujud isu kekurangan tanah perkuburan Islam di Pulau Pinang, seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.