SEBERANG PERAI, 16 Januari - Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) dan Penang Port menawarkan perkhidmatan feri Pulau Pinang secara percuma selama 50 jam, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.
Tawaran itu bermula 12.01 tengah malam 24 Januari hingga 2.00 pagi 26 Januari sempena Perayaan Thaipusam 25 Januari ini.
Katanya, pemberian perkhidmatan percuma itu bagi memastikan perkhidmatan feri berjalan lancar dan memudahkan perjalanan untuk mereka yang meraikan perayaan itu.
Penumpang juga disediakan bas perantara secara percuma untuk ke kuil fan Kebun Bunga.
"Iaitu percuma selama 50 jam 2 hari 2 jam, sebab akan beroperasi hingga pukul 2.00 pagi pada hari selepas sambutan Thaipusam, iaitu pada tengah malam 25 Januari sampai pukul 2.00 pagi iaitu masuk 26 Januari dan feri ini buat pertama kalinya untuk sambutan hari Thaipusam beroperasi selama 24 jam,"kata Anthony Loke, di sini.
Tambahnya, perkhidmatan percuma tersebut juga adalah bertujuan mengurangkan kesesakan lalu lintas dalam memastikan sambutan perayaan itu dapat berjalan dengan lancar.
Anthony Loke beracakap dalam sidang media selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dengan Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) bagi pembangunan di atas sebahagian Lot 286, 65 dan 67 Bandar Perai, di sini.