fb fb fb fb fb

Tambah peruntukan sektor pelancongan, MAH Negeri Sembilan sambut baik

(Foto Fail)

SEREMBAN, 5 Mac- Hasrat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan pertambahan peruntukan bagi sektor pelancongan dalam Belanjawan 2023, disambut baik Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Negeri Sembilan.

Pengerusi MAH Negeri Sembilan, Haziz Hassan berkata ia bagi memperkasa usaha mempromosi pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia 2025.

"Sekarang ini kalau selepas pandemik, negara-negara asing pun, dari China, Eropah, Jepun, memang belum lagi nampak ketara ini, datang ke Malaysia.

"Jadi yang penting sekarang ini, kita kena membuat suatu promosi yang hebat. Jadi dalam bajet itu tak boleh ada kekangan pasal kita dalam industri pelancongan ini adalah nombor tiga mendatangkan kita punya hasil negara.

"Jadi penting untuk kita lebih memberi bajet lebih tinggi dan supaya kita dapat membuat promosi yang hebat," katanya.

(Pengerusi MAH Negeri Sembilan, Haziz Hassan)

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Pelancaran Karnival 'MAH Negeri Sembilan Food Festival 2023', di sini.

Perdana Menteri menerusi pembentangan Belanjawan 2023 memperuntukkan RM275 juta bagi melaksana promosi pelancongan dan kebudayaan.

Menteri MOTAC, Datuk Seri Tiong King Sing bagaimanapun bercadang berbincang bersama Perdana Menteri berkenaan penambahan peruntukan bagi sektor pelancongan.

Sektor pelancongan dikatakan sebagai tunjang utama dalam usaha memacu ekonomi negara, sekali gus memberi manfaat kepada ekonomi rakyat.

Media Baharu