fb fb fb fb fb

Tambah baik PJR, indikator kos sara hidup akan digunakan

Timbalan Menteri Ekonomi, Hanifah Hajar Taib

KUALA LUMPUR, 5 Februari - Indikator kos sara hidup akan diguna pakai sebagai mekanisme penambahbaikan terhadap Program Jualan Rahmah (PJR).

Timbalan Menteri Ekonomi Hanifah Hajar Taib berkata, ia bagi memastikan perlaksanaanya bersasar dan efektif kepada kumpulan sasar.

"Kerajaan melalui Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terus melaksanakan usaha berterusan bagi mengatasi isu kenaikan kos sara hidup rakyat dengan memberikan tumpuan kepada tujuh kluster keutamaan iaitu perumahan, pendidikan, pengangkutan, utiliti, kesihatan, makanan dan pendapatan." kata Hanifah.

Beliau menjawab pertanyaan wakil Subang, Wong Chen berhubung saranan Jabatan Perangkaan mendepani kenaikan kos sara hidup, di Dewan Rakyat.

Tambahnya, kempen kepenggunaan juga akan dipergiat  bagi pembelian bijak berdasarkan keperluan, sekali gus mengelakkan perbelanjaan berkaitan kos gaya hidup.

Dalam pada itu Hanifah berkata, hampir RM13 bilion diperuntukkan bagi inisiatif Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi membantu rakyat menangani kenaikan kos sara hidup.

"Antara langkah yang diambil bagi mengatasi isu kos sara hidup melalui strategi jangka pendek adalah, Sumbangan Tunai Rahmah dan Sumbangan Asas Rahmah dengan peruntukan hampir RM13 bilion, pelaksanaan inisiatif Payung Rahmah RM300 juta, program mengawal harga barang melalui usahasama dengan pelbagai pihak RM700 juta," katanya.

Mengulas lanjut, peruntukan sebanyak RM40 juta turut disalurkan bagi Program Penyeragaman Harga Barang di Sabah, Sarawak dan Labuan.

TETITIA YUSOFF