fb fb fb fb fb

Tambah baik kemudahan dan kurikulum sekolah pondok & tahfiz

Penyepaduan elemen moden seperti AI danTVET - PM / Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 21 Julai – Kerajaan komited memperkasa sistem pendidikan sekolah pondok dan tahfiz dengan menambah baik kemudahan serta memperluas kurikulum melalui penyepaduan elemen moden seperti Kecerdasan Buatan (AI) dan Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihak Perbendaharaan telah diminta meneliti pendekatan terbaik bagi memperkukuh institusi tersebut, termasuk aspek kemudahan fizikal dan silibus agar kekal relevan dengan keperluan semasa dan masa depan negara.

“Saya telah maklumkan kepada Perbendaharaan untuk mencari jalan bagi meningkatkan semula keupayaan pondok-pondok ini supaya mereka mendapat kemudahan yang lebih baik dan kurikulum yang menepati tuntutan semasa.

“Kalau itu dipenuhi, bermakna kita tidak ganggu langsung sukatan asalnya,” katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, hari ini.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut melahirkan kekesalan terhadap pihak yang mempolitikkan usaha menyantuni dan mendampingi tokoh-tokoh pondok serta institusi tradisional agama.

Jelas beliau, kerajaan tidak pernah bercadang untuk mengubah sistem pondok atau tahfiz yang sudah lama wujud, sebaliknya berusaha menambah nilai dengan elemen yang lebih relevan dan selari dengan keperluan semasa.

Setakat ini, seramai 12,500 pelajar tahfiz telah menyertai program TVET, membuktikan pendekatan itu semakin diterima oleh masyarakat.

HASRON BIN HASSAN