KUALA LUMPUR, 1 April- Taman Tasik Titiwangsa antara lokasi yang menjadi tumpuan warga kota sempena dengan cuti Hari Raya Aidilfitri.
Tidak dapat dinafikan, pengunjung yang hadir mencipta momen peribadi selain menikmati cuti bersama keluarga.
Menerusi tinjauan yang dilakukan RTM hari ini mendapati, kebanyakan pengunjung membawa anak-anak untuk meluangkan masa bersama atau beriadah.
Farhani Anati Azizan yang tinggal di Kedah juga tidak melepaskan peluang untuk meluangkan masa dan bercuti di ibu negara.
"Kesempatan sempena dengan cuti Aidilfitri ini memang saya gunakan sebaiknya. Saya juga sempat melawat adik beradik yang tinggal di Kuala Lumpur.
"Sebelum ini saya sudah pergi ke Melaka, jadi memang berbaloi dengan masa cuti panjang ini. Saya pun sempat berbasikal di sini (Taman Tasik Titiwangsa)," katanya.
Sementara itu bagi jurulatih badminton Seto Danu Kusuma, dia menggunakan cuti perayaan Aidilfitri untuk beriadah bersama anak-anak dan keluarga.
"Untuk hari kedua ini, saya memilih untuk beriadah di Taman Tasik Titiwangsa kerana ia lokasi sesuai untuk membawa anak-anak bermain dan juga membawa keluarga yang datang dari Indonesia," katanya.
Bagi Noorinani Rosli pula, dia menjadikan lokasi di luar rumah sebagai tempat untuk berkumpul bersama keluarga.
"Semalam memang seharian kia berada di rumah, jadi hari kedua ini memang saya luangkan masa dengan keluarga di luar.
"Saya bawa anak, menantu dan cucu ke luar dan meraikan bersama-sama. Pada hari biasa, masing-massing sibuk dengan tugasan jadi kesempatan ini merupakan masa sesuai untuk berhimpun," katanya.
Jelas cuti Aidilfitri dimanfaatkan sebaiknya dengan berkumpul bersama keluarga, menikmati keindahan Syawal dan turut diraikan di pelbagai lokasi berbeza.