fb fb fb fb fb

Taman Eko Rimba KL, potensi tarikan pelancong

Nik Nazmi Nik Ahmad/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 19 Mei- Taman Eko Rimba Kuala Lumpur (TERKL) di Bukit Nenas berpotensi untuk dibangun dan dipromosikan sebagai satu lagi tarikan di ibu negara.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, TERKL juga berada di lokasi yang strategik serta mudah untuk diakses, termasuk kepada pelancong asing selain selain memiliki sejarah tersendiri.

"Mungkin apabila orang dengar Bukit Nenas mereka fikir sekolah, mereka fikir Menara KL, tidak terfikir di sini ada satu Taman Eko Rimba yang ada sejarahnya tersendiri. Bukan sahaja flora, ia termasuk fauna.

"Sambutan sebenarnya sangat baik, tetapi saya rasa boleh pergi lebih jauh lagi sebab tidak banyak bandar raya di dunia yang boleh tawarkan satu hutan rimba yang ada di tengah-tengah kota raya. Jadi inilah keunikan Taman Eko Rimba di sini," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke taman tersebut, di sini.

Nik Nazmi berkata pihaknya juga sudah membuat beberapa permohonan kepada Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan bagi meningkatkan lagi aktiviti promosi dan menaik taraf fasiliti di taman itu.

Terdahulu beliau bersama-sama Pengerusi Kesihatan, Kebajikan dan Pengurusan Bencana, Sains, Teknologi, Inovasi dan Teknologi Hijau, Alam Sekitar dan Perpaduan negeri Perlis Megat Hashirat Hassan merasmikan sesi pelepasan peserta Visit Perlis dan Green Fun Ride and Run serta Jelajah Perpaduan Kayuhan Hijau di Dataran Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Program anjuran kerajaan negeri Perlis dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Perlis dan Pertubuhan Nadi Sihat itu dianjurkan bersempena dengan ambang sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Perlis Tahun 2024.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI