KEMAMAN, 28 Februari- Projek Pembangunan Taman Awam Kuala Kerteh, Kemaman, Terengganu bernilai RM17 juta yang berkonsepkan eksplorasi visual dibuka secara rasmi hari ini.
Ia merupakan taman awam keempat dibina di negeri itu dan 60 buah taman awam di seluruh negara setakat Disember tahun lalu, menerusi inisiatif Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, projek yang dibangunkan melalui Jabatan Lanskap Negara (JLN) ini sebagai usaha kerajaan mewujudkan kawasan persekitaran kehidupan yang kondusif untuk masyarakat.
KPKT juga menyasarkan untuk membina 100 Taman Komuniti MADANI di seluruh negara menerusi JLN dan Jabatan Kerajaan Tempatan, tahun ini.
Pembinaan lebih banyak taman awam itu sebagai komitmen kerajaan mempromosi gaya hidup sihat dan aktif serta memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat menerusi aktiviti rekreasi di taman awam.
Pertambahan jumlah penduduk di kawasan perbandaran juga telah meningkatkan keperluan ruang hijau sebagai medium interaksi sosial, terapi dan ketenangan serta untuk rekreasi.
Program Pembangunan Taman Awam yang dibangunkan ini telah berjaya mengekal dan menambah kawasan hijau di kawasan bandar dan kawasan yang mempunyai ramai penduduk.
Beliau berucap pada Majlis Perasmian Taman Awam Kuala Kerteh di Kemaman.
Taman Awam yang siap sepenuhnya pada 27 Oktober tahun lalu merupakan taman awam pertama di daerah Kemaman yang memberi manfaat kepada lebih 226,000 penduduk di daerah tersebut.
Pelbagai kemudahan disediakan di taman berkeluasan 8.98 hektar ini termasuk dewan terbuka, menara pandang, laluan pejalan kaki dan ruang hijau untuk kemudahan orang ramai berkelah.
Pada majlis itu, Nga Kor Ming turut menyampaikan peruntukan bagi projek-projek kecil Jabatan Landskap Negara sebanyak RM24.9 juta bagi tahun 2024. Terengganu memperolehi RM12.4 juta bagi tujuan sama.
Terdapat tiga lagi taman awam di Terengganu di bawah KPKT iaitu Batu Burok, Lagun Kuala Ibai, Kuala Terengganu dan Teluk Gadong, Dungun.