SEPANG, 4 Julai - Perkhidmatan Aerotrain KLIA di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) tergendala lebih sejam pagi tadi, susulan takungan air dalam terowong yang disebabkan oleh hujan lebat.
Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) memaklumkan, sistem saliran terowong berkenaan dilengkapi dengan pam yang direka untuk mengendalikan kemasukan air semasa cuaca buruk.
''Bagaimanapun, sebuah pam saliran mengalami kerosakan teknikal, sekali gus menghalang pengaliran air secara automatik.
“Sebagai langkah keselamatan, operasi tren digantung sekitar pukul 11 pagi sehingga air dikeluarkan secara manual dan landasan disahkan selamat untuk digunakan,” menurut kenyataan MAHB.
Perkhidmatan Aerotrain disambung semula pada 12.15 tengah hari selepas mendapat kelulusan penuh daripada pasukan teknikal dan keselamatan.
Sepanjang gangguan tersebut, perkhidmatan pengangkutan ke terminal satelit tidak terjejas dan penumpang dibawa menggunakan perkhidmatan bas.
Sistem pam berkenaan sedang dibaiki dan pasukan teknikal MAHB akan terus memantau rapi sistem Aerotrain pada peringkat awal operasi.
Perkhidmatan Aerotrain kembali beroperasi sepenuhnya pada Selasa lalu, susulan kerja naik taraf bernilai RM456 juta.