KUALA LUMPUR, 26 Julai - Pendedahan dan kesedaran umum mengenai taktik pihak tertentu yang berusaha melemahkan sistem penyampaian maklumat adalah amat penting.
Ketua Jabatan, Perhubungan dan Kolaborasi Industri CyberSecurity Malaysia, Azrul Nazim Abdul Aziz berkata ia seiring dengan perkembangan teknologi, seperti kecerdasan buatan (AI) yang berisiko menyebarkan maklumat tidak sahih yang semakin meningkat.
"Teknologi AI, sekarang ini digunakan secara berleluasa oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Mereka menggunakan teknologi AI untuk mengesahkan sesuatu perkara yang tidak tentu kesahihannya atau membenarkan yang tidak benar," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menjadi tetamu Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media, di sini.
Azrul turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan hanya mendapatkan informasi sahih melalui pihak berkuasa yang bertanggungjawab memberikan maklumat terkini.