fb fb fb fb fb

Taklimat khas akan dianjurkan berkenaan tatacara penggunaan Jalur Gemilang

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 17 April- Sesi taklimat khas akan dianjurkan kepada organisasi media dan unit komunikasi korporat mengenai tatacara penggunaan Jalur Gemilang.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata taklimat itu akan diadakan di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) dalam tempoh dua minggu lagi.

"Berdasarkan apa yang dah berlaku, kita putuskan untuk mengadakan satu sesi penerangan dan taklimat mengenai tatacara penggunaan, pempameran lambang kebangsaan iaitu Jalur Gemilang.

"Kita akan anjurkan sesi ini untuk rakan-rakan media dan Unit Komunikasi Korporat di IPPTAR dalam tempoh dua minggu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Sidang Media Mingguan Menteri Komunikasi di Angkasapuri Kota Media di sini.

Mengulas lanjut, beliau bersama Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching telah bertemu dengan pihak pengurusan media Sin Chew Daily.

Perkara itu berhubung kontroversi penerbitan ilustrasi Jalur Gemilang sempena lawatan Presiden China, Xi Jinping ke Kuala Lumpur, Selasa lalu.

Jelasnya, siasatan dijalankan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).

Dalam pada itu, kerajaan tidak pernah meminggirkan mana-mana negeri termasuk yang ditadbir pembangkang bagi aspek pemberian peruntukan.

Beliau yang juga jurucakap Kerajaan MADANI berkata ia dibuktikan menerusi peningkatan jumlah peruntukan yang disalur kerajaan Persekutuan kepada negeri terlibat pada tahun lalu.

"Kita harap dapat memberi satu pemahaman kepada orang ramai kepada usaha kerajaan dan Kerajaan MADANI tak pernah meminggirkan, mengetepikan dan membezakan antara negeri.

"Tidak kira siapa pemimpin dan yang mentadbir sebab penegasan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah Kerajaan Persekutuan perlu menyampaikan bantuan, maka bantuan akan tiba," tegasnya.

Tahun lalu, sebanyak RM2 bilion diperuntukkan kepada kerajaan negeri Terengganu berbanding RM1.57 bilion pada tahun berikutnya.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM