
KUALA LUMPUR, 15 Februari – Polis hanya membenarkan penjualan bunga api dan mercun berimpak rendah serta tidak menghasilkan letupan besar bersempena perayaan Tahun Baharu Cina yang bakal disambut Selasa ini.
- Hanya bunga api dan mercun berimpak rendah seperti pop-pop dan happy boom dibenarkan semasa sambutan.
- Penggunaan atau penjualan mercun berletupan kuat memerlukan kebenaran dan permit polis.
- Polis meningkatkan rondaan, pemerhatian dan risikan serta akan bertindak segera terhadap pelanggaran.
- Pelanggaran Akta Bahan Letupan 1957 boleh membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, sebarang penggunaan atau penjualan mercun yang menghasilkan letupan kuat perlu mendapatkan kebenaran serta permit daripada pihak polis terlebih dahulu.
“Pihak polis akan meningkatkan lagi rondaan, pemerhatian dan risikan. Saya menasihatkan agar menghentikan perbuatan seperti ini. Berpada-padalah dalam meraikan sesuatu dan rayakanlah dengan baik bersama-sama.
“Jangan menimbulkan gangguan, ancaman atau ketidakselesaan kepada masyarakat lain yang boleh dianggap sebagai satu kesalahan. Pihak polis akan mengambil tindakan serta-merta terhadap sebarang pelanggaran,” katanya pada satu sidang media di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, hanya bunga api jenis ‘pop-pop’ dan ‘happy boom’ dibenarkan.
Namun, bagi bunga api atau mercun yang menghasilkan letupan besar, ia memerlukan kebenaran daripada pihak polis.
Tambah beliau, tindakan akan diambil kepada individu yang gagal mematuhi undang-undang mengikut Seksyen 7 dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207).
Jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali.