PENGKALAN BALAK, 29 Jun- Tahap kesedaran aspek keselamatan di sektor pelancongan masih rendah.
Berdasarkan rekod Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), sektor hotel dan restoran mencatatkan 176 kes kemalangan dalam kategori tidak hilang upaya kekal bagi tempoh Januari hingga Oktober 2023.
Setiausaha Eksekutif Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Mejar (B) Hanif Maidin berkata penerangan dengan lebih terperinci akan diberikan kepada penggiat industri pelancongan berhubung Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022 yang dikuatkuasakan 1 Jun lepas.
Menerusi pindaan akta tersebut yang turut merangkumi sektor pelancongan, majikan diwajibkan menganalisis risiko di tempat kerja dan melantik penyelaras keselamatan kesihatan.
"Daripada segi aspek pelancongan, kalau kita tengok daripada segi pengurusan, tempat kerja terutama di sini dalam pengurusan air.. bila kita bekerja dengan air ini, apakah peralatan-peralatan ataupun langkah-langkah keselamatan yang perlu kita ambil.
"..Sebagai contoh kita naik kalau kita tengok kat depan ini tadi banyak bot dan sebagainya, banyak kadang-kadang isu itu daripada segi keselamatan pemakaian kita panggil PPE tidak di ambil berat dan kawasan-kawasan yang sepatutnya dihadkan.. di mana bot nak lalu, dekat mana orang yang berenang perlu ada dan sebagainya," katanya kepada pemberita ketika hadir Program Tanggungjawab Sosial Korporat NIOSH - Pembersihan Pantai di Pantai Padang Kemunting di sini.
Program berkenaan melibatkan lebih 100 sukarelawan NIOSH dan pelajar Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Melaka.
Mereka berjaya mengutip 39.5 kilogram sampah di hampir satu kilometer pesisir Pantai Kemunting.