fb fb fb fb fb

Tahap keruh air LRA Linggi masih terkawal

LRA Linggi

SEREMBAN, 16 Disember- Tahap kekeruhan air mentah di Loji Rawatan Air (LRA) Linggi masih berada dalam keadaan terkawal dengan bacaan kurang 1,000 Unit Kekeruhan Nephelometric (NTU) meskipun mengalami hujan berterusan sejak beberapa hari lalu.

Ketua Jabatan Pengeluaran Syarikat Air Negeri Sembilan, Intan Emelia Razali berkata, hujan berterusan boleh menyebabkan kualiti air merosot hingga operasi LRA terpaksa dihentikan.

"(Bacaan) lebih 1,000 NTU mengikut garis panduan KKM (Kementerian Kesihatan) adalah tidak sesuai untuk dirawat, tetapi pihak kamu cuba kurangkan (kekeruhan) supaya ia mematuhi spesifikasi KKM.

"Selain daripada itu, faktor-faktor lain (kenaikan NTU) adalah sampah sarap dan juga kayu-kayu (yang) tersangkut pada weir gate. (Justeru) kita perlu buat kerja-kerja pembersihan.

"Itu antara faktor (yang berlaku) semasa musim hujan yang menyebabkan pengurangan pengeluaran air terawat, dan juga akan ada sedikit gangguan pada agihan (bekalan air)," katanya kepada pemberita RTM di LRA Tinggi di sini.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar mengambil langkah penjimatan serta menyimpan air untuk kegunaan harian sekiranya berlaku gangguan bekalan air disebabkan faktor berkenaan.

SITI AISHAH BINTI MD ISA