KUALA LUMPUR, 28 April - Etnik Rohingya yang melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sementara Relau, Sungai Bakap, Kedah 20 April lalu dikesan berada di sekitar Selayang.
Usaha mengesan lokasi sebenar mereka sedang dilakukan.
Menurut Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, kehadiran tahanan terbabit di Selayang dikesan hasil maklumat dan risikan.
(Datuk Seri Khairul Dzaimee(tengah) memeriksa pendatang tanpa izin yang ditahan oleh Jabatan Imigresen Malaysia ketika operasi yang dijalankan di Pasar Borong Selayang/BERNAMA)
"Berdasarkan maklumat yang diterima berkemungkinan mereka dibantu oleh komuniti mereka sendiri untuk membawa tahanan yang lolos ke kawasan Selayang.
"Kita percaya ada di antara mereka yang tahu mengenai selok-belok Selayang dan Kuala Lumpur kerana mereka pernah tinggal di kawasan ini," kata Khairul Dzaimee ketika ditemui selepas serbuan di Pasar Borong Selayang dan Pasar Borong Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Beliau berkata, setakat ini tahanan yang masih bebas adalah seramai 61 orang dan pihaknya bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih giat memburu mereka.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada PDRM yang bersama JIM dalam melakukan pencarian bagi mengesan saki-baki tahanan yang melarikan diri dari pusat tahanan," katanya.
Dalam kejadian 20 April lalu, 528 tahanan di Depot Imigresen Sementara Relau, Sungai Bakap merusuh dan melarikan diri.
Enam daripada mereka maut dalam kemalangan ketika cuba melintas jalan di Kilometer 168 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).
467 orang berjaya ditahan semula setakat ini manakala bakinya sedang diburu polis.