Tadbir urus terjamin, Op Ihsan 2.0 pastikan bantuan Gaza lebih telus

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan/BERNAMA

PUTRAJAYA, 6 April– Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) terus memperkukuh gerak kerja bantuan kemanusiaan ke Gaza melalui penyelarasan badan bukan kerajaan (NGO)
di bawah satu platform bersepadu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Op Ihsan 2.0 dilaksanakan bersama JAKIM dan agensi agama untuk memastikan penyaluran bantuan lebih tersusun dan telus.
  • Kerajaan memberi jaminan integriti, tadbir urus dan ketelusan dipantau rapi melalui mekanisme terbaik.
  • Platform menghimpunkan kepakaran NGO dalam kesihatan, pendidikan dan keperluan asas serta menekankan kesinambungan pendidikan rakyat Palestin.

Menterinya, Dr. Zulkifli Hasan berkata inisiatif itu dikenali sebagai Op Ihsan 2.0 yang mendapat kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta agensi agama bagi memastikan bantuan disalurkan secara lebih tersusun dan telus.

“Sudah sampai masanya kita bergerak seiring di bawah satu payung demi nama Malaysia. Melalui Op Ihsan, semua pihak akan bergabung di bawah satu identiti kebangsaan. Alhamdulillah, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) kini menjadi peneraju utama Op Ihsan.”

“Kita memberi jaminan bahawa aspek integriti, tadbir urus, serta ketelusannya adalah terjamin kerana inisiatif ini dipantau secara rapi menerusi mekanisme terbaik yang kita miliki,” kata Dr. Zulkifli kepada pemberita, hari ini.

Beliau turut memaklumkan usaha tersebut diperkukuh hasil pertemuan bersama
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang akan mengetuai delegasi kemanusiaan ke Mesir, hari ini.

Beliau ditemui setelah menghadiri Majlis Bicara Korporat dan Liqa Mahabbah bersama Ketua-Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Korporat Malaysia, di sini.

Tambahnya, Platform Op Ihsan 2.0 tersebut akan menjadi payung utama menghimpunkan kepakaran NGO merangkumi aspek kesihatan, pendidikan serta keperluan asas bagi membantu rakyat Gaza.

Katanya, selain bantuan fizikal dan kewangan, usaha turut memberi tumpuan kepada kesinambungan pendidikan rakyat Palestin yang terjejas akibat konflik.

Dalam pada itu, beliau menyeru orang ramai untuk terus menyalurkan sumbangan serta memperkukuh sokongan moral sebagai tanda solidariti berterusan terhadap rakyat Gaza.