SHAH ALAM, 10 April- Lebih RM2 juta telah berjaya dikutip menerusi Tabung Pembangunan Ehsan Selangor-Gaza iaitu inisiatif kerajaan Selangor bagi membangunkan semula wilayah Gaza di Palestin.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata kerajaan negeri menyasarkan mengutip RM8.7 juta untuk dimanfaatkan melalui pelaksanaan beberapa projek pembangunan seperti pembinaan Apartment Darul Ehsan, Masjid Darul Ehsan dan Menara Tangki Air Darul Ehsan di Gaza.
Menerusi video ucapan sempena Aidilfitri di laman Facebooknya, Amirudin meluahkan rasa kagum dengan sikap pemurah masyarakat dalam menyokong inisiatif kerajaan negeri membangunkan semula wilayah itu.
"Semoga semangat keinsanan dan kemanusiaan yang tinggi ini akan terus memekar dalam diri kita yang tidak hanya terhad di dalam negeri dan lokaliti kita ataupun orang yang kita kenali, sebaliknya dengan semangat kemanusiaan sejagat yang membawa kemakmuran dan kebahagiaan," katanya.
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan melancarkan tabung berkenaan pada 28 Mac lepas.
Baginda turut berkenan menerima sumbangan dari dana umat Islam Selangor berjumlah RM1.2 juta, Majlis Agama Islam Selangor (RM200,000) dan sumbangan peribadi Amirudin (RM50,000) untuk disalurkan ke tabung berkenaan.
Sementara itu, Amirudin dalam ucapannya berharap agar Ramadan yang lalu berjaya memberikan kesan terhadap jiwa dan perilaku setiap individu sekali gus diterjemahkan dalam kehidupan seharian.- BERNAMA