fb fb fb fb fb

Tabung Musa’adah diguna untuk bina hospital rakyat Palestin

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 19 Disember- Hasil kutipan Tabung Musa’adah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) akan digunakan untuk membantu membina hospital di Palestin. 

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, ketika ini tabung tersebut telah berjaya mengumpul sebanyak RM8.8 juta.

"Kita akan buat agihan dan mengikut seperti yang telah dibincangkan oleh jawatankuasa agihan ni di peringkat JAKIM dan YWM ini. Kita lebih melihat kepada pasca. Maknanya, ada cadangan untuk kita membina hospital di Gaza, secara khususnyalah.

Kemudian, ialah 'central kitchen' yang mana akan bertindak untuk pengagihan makanan kepada di rakyat Palestin khususnya," kata Dr. Naim kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani kerjasama strategik di antara YWM dan LC Wakaful Digital Sdn. Bhd, di sini.

Kerjasama itu adalah sebagai salah satu usaha mempelbagaikan saluran kutipan wakaf secara digital bagi memudahkan masyarakat melaksanakan wakaf melalui penggunaan platfrom ‘GoBarakah’.

Menerusi platform tersebut, masyarakat boleh berwakaf secara tunai atau membuat sumbangan melalui pembelian e-baucar yang kemudiannya akan diserahkan kepada YWM untuk tujuan agihan.

Sebagai permulaan, ‘GoBarakah’ akan mempromosi kutipan Wakaf Sejuta AlQuran yang berharga RM38 bagi setiap naskah.

Dalam majlis sama , Datuk Na’im juga menerima cek cura kutipan dana untuk Palestin di bawah Tabung Musa’adah JAKIM-YWM daripada Aafiyat Group berjumlah RM50,000 dan juga dari Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia, Putrajaya berjumlah RM5,200.
 
Menurut Datuk Na’im, tabung itu akan sentiasa dibuka susulan masih banyak kemudahan lain yang perlu dibina selepas musnah dibedil oleh zionis Israel.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM