fb fb fb fb fb

Tabung Amanah Bakun terus pastikan anak-anak Belaga ke menara gading

Foto Tabung Amanah Bakun

KUCHING, 6 Oktober -Tabung Amanah Bakun terus komited memastikan anak-anak dari daerah Belaga dan Sungai Asap agar tidak tercicir dalam pendidikan serta berpeluang melanjutkan pengajian ke menara gading.

Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Liwan Lagang berkata, usaha itu menjadi keutamaan dalam melahirkan lebih ramai tenaga muda berilmu dari kawasan tersebut. 

"Kita mahu memastikan anak-anak Belaga tidak terkandas dalam pengajian mereka. Jika ada masalah, mereka boleh maklumkan kepada wakil kelab pelajar di universiti, dan maklumat itu akan disalurkan kepada Tabung Amanah Bakun untuk tindakan lanjut," katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Belua Daerah Belaga 2025 dan Sambutan Ulang Tahun ke-28 Tabung Amanah Bakun, di sini, malam tadi. 

Datuk Liwan merangkap Pengerusi Tabung Amanah Bakun mendedahkan sejak penubuhannya, Tabung Amanah Bakun telah menaja lebih 5,000 pelajar Belaga ke pelbagai institusi pengajian tinggi di dalam dan luar Sarawak. 

Jelasnya, ia merupakan satu pencapaian membanggakan bagi daerah yang mempunyai populasi sekitar 40,000 penduduk.

Menurut Datuk Liwan, kejayaan pelajar hari ini tidak lagi bergantung kepada kesusahan seperti generasi terdahulu, sebaliknya bergantung kepada semangat, ketahanan dan kebijaksanaan dalam menggunakan peluang yang tersedia.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga menyeru agar pihak syarikat-syarikat berkaitan terus menyalurkan sumbangan dana kepada Tabung Amanah Bakun bagi meneruskan tajaan pendidikan kepada pelajar-pelajar dari kawasan pedalaman itu. 

Pada majlis itu, Datuk Liwan turut menyampai insentif berjumlah keseluruhan RM8,000 kepada 20 orang penerima yang merupakan pelajar di peringkat ijazah dan diploma dari Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS).

Turut hadir,  ADUN Murum yang juga Setiausaha Tabung Amanah Bakun Kennedy Chukpai Ugon dan Timbalan Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (Sektor Pengurusan Sekolah) Dr Les Met. 

TETITIA YUSOFF