TABIKA Tunas Istimewa diperluas, sokong perkembangan kanak-kanak autistik

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Datuk Mohd Hanafiah Man/BERNAMA

KAJANG, 12 Januari– Usaha Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) memperluas TABIKA Tunas Istimewa (Autisme) mula menunjukkan impak positif apabila pendekatan pendidikan khas yang dilaksanakan bukan sahaja memberi akses pendidikan inklusif malah membantu perkembangan awal kanak-kanak di bawah spektrum autisme.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program TABIKA Tunas Istimewa menunjukkan impak positif terhadap perkembangan sosial kanak-kanak autistik.
  • Modul pembelajaran disesuaikan untuk kanak-kanak autistik kategori ringan, fokus pada pembinaan karakter dan kemahiran mengurus diri.
  • Sudah terdapat 19 kelas beroperasi di seluruh negara termasuk Wilayah Persekutuan, Melaka dan Perak.
  • Peluasan disokong dengan latihan guru dipertingkat dan perancangan jangka panjang untuk kualiti pengajaran mampan.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Datuk Mohd Hanafiah Man berkata pelaksanaan projek rintis sebelum ini membuktikan pendekatan pembelajaran khusus mampu memberi kesan ketara terhadap perkembangan sosial serta interaksi kanak-kanak terlibat.

“Alhamdulillah, berdasarkan tiga projek rintis yang dilaksanakan di Melaka, walaupun program ini hanya berjalan kira-kira tiga bulan bermula Julai tahun lalu, perkembangan anak-anak yang terlibat didapati amat memberangsangkan.

“Maklum balas ibu bapa menunjukkan bahawa anak-anak yang sebelum ini kurang berinteraksi dengan ahli keluarga di rumah kini telah mula menunjukkan perubahan positif dan berupaya berinteraksi dengan lebih baik,” katanya ketika ditemui hari ini.

Beliau menjelaskan, perbezaan utama TABIKA Tunas Istimewa terletak pada modul pembelajaran yang disesuaikan khusus dengan keperluan kanak-kanak autistik kategori ringan, selaras dengan tapisan dan piawaian yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Dari segi modul pembelajaran, TABIKA Tunas Istimewa berbeza daripada tabika biasa kerana penekanannya adalah kepada pembinaan karakter, termasuk membantu anak-anak mengurus diri. Oleh itu, pendekatan yang diterapkan merupakan pendidikan khas yang berbeza daripada modul tabika konvensional,” tambahnya.

Setakat ini, sebanyak 19 kelas TABIKA Tunas Istimewa telah beroperasi di seluruh negara termasuk di Wilayah Persekutuan, Melaka dan Perak, sekali gus mencerminkan komitmen KEMAS dalam memperluas akses pendidikan awal kepada kanak-kanak berkeperluan khas.

Peluasan berkenaan turut disokong dengan penambahbaikan latihan guru serta perancangan jangka panjang bagi memastikan kualiti pengajaran terus diperkasa, selaras dengan matlamat KEMAS menyediakan sistem pendidikan awal yang inklusif, berstruktur dan mampan.