fb fb fb fb fb

T15: Definisi dan pengelasan bakal diputuskan kabinet dalam waktu terdekat

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 17 Disember-Beberapa cadangan sedang diperhalusi oleh kerajaan mengenai konsep dan pengkelasan T15 yang dipersetujui akan diguna pakai bagi pemberian bantuan dan subsidi kerajaan.

Jelas Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, cadangan berkaitan definisi dan pengelasan kumpulan pendapatan T15 itu sedang diperhalusi dan akan diputuskan oleh Jemaah Menteri dalam masa terdekat.

"Pengelasan T15 daripada Kementerian Ekonomi dicadangkan untuk beralih daripada pendekatan berdasarkan pendapatan kasar yang digunakan sebelum ini iaitu B40, M40 dan T20 kepada kaedah pendapatan boleh guna bersih bagi memastikan pengukuran dan penyasaran yang lebih inklusif dan adil", katanya demikian ketika menjawab pertanyaan
Senator Baharuddin Ahmad dalam Dewan Negara hari ini.

Dalam pada itu, Rafizi berkata definisi dan mekanisme pengelasan golongan T15 berdasarkan pendapatan boleh guna bersih boleh disediakan menggunakan maklumat dalam sistem PADU dengan mengambil kira elemen perbelanjaan asas kehidupan wajar (PAKW).

Tambahnya, PAKW merujuk kepada amaun perbelanjaan yang diperlukan oleh isi rumah untuk menjalani kehidupan wajar yang dapat memenuhi keperluan dan kehendak serta berpeluang menyertai aktiviti sosial dalam masyarakat.

PAKW juga boleh memperjelas mengenai kos sara hidup di kawasan berbeza antara negeri, menjadi indikator dalam perancangan dan pembangunan sosioekonomi, serta dalam penentuan gaji yang lebih adil di samping membantu individu dan keluarga merancang perbelanjaan dan pengurusan kewangan isi rumah.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD