fb fb fb fb fb

Syed Kamarulzaman Syed Kabeer, dilantik Pengerusi MAIWP yang baharu

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 15 Januari- Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Naim Mokhtar mengumumkan pelantikan Syed Kamarulzaman Syed Kabeer sebagai Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang baharu, berkuat kuasa 15 Februari 2024.

Dalam satu kenyataan, beliau memaklumkan bahawa pelantikan itu telah mendapat perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Menurut Datuk Naim, Syed Kamarulzaman merupakan seorang tokoh dan intelektual Islam yang berpengalaman luas dalam pelbagai bidang termasuk sains dan teknologi.

"Beliau juga memikul amanah sebagai panel pemikir dan penasihat kepada beberapa organisasi antaranya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)."

"Selain itu, beliau juga merupakan Yang Dipertua Persatuan Falak dan Syarie Malaysia dimana beliau telah terlibat dalam mereka bentuk dan membina jam matahari selama hampir 15 tahun," kata kenyataan itu.

Pada tahun 2023, beliau telah menerima Anugerah Maulidur Rasul 2023 atas jasa dan bakti dalam membangunkan bidang astronomi Islam di Malaysia.

"Pengalaman luas Syed Kamarulzaman seorang tokoh dan intelektual Islam amat berharga dalam meneruskan kecemerlangan MAIWP," tambah kenyataan itu.

Datuk Naim turut merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada Tan Sri Daud Bakar atas segala jasa bakti dalam perkhidmatan yang diberikan dalam memimpin MAIWP bagi sesi 2021 sehingga 2024.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM