BANGI, 5 Mei- Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali akan mendedahkan nama syarikat pembungkusan semula minyak masak bersubsidi yang dikenal pasti terlibat dalam aktiviti penyelewengan barangan kawalan itu.
Ketika ini beberapa negeri masih belum selesai menjalankan proses audit dan menyerahkan laporan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Beliau berkata, KPDN akan mengambil tindakan serta merta sekiranya menerima aduan dari mana-mana pihak berkaitan penjualan minyak bersubsidi itu.
"Pelbagai perundangan, akta perihal dagangan, akta kawalan bekalan pun boleh sebab kita tahu bahawa minyak masak paket ini adalah barang bersubsidi yang ditetapkan kerajaan harganya.
"Jadi ia merupakan satu kesalahan bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122)," katanya kepada pemberita ketika mengulas mengenai tindakan yang akan dikenakan kepada pihak yang menjual minyak paket bersubsidi secara dalam talian di sini.
Pada masa sama beliau turut mengharapkan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan secara rasmi kepada KPDN sekiranya terdapat pihak yang menjual minyak masak paket secara tidak sah.
Armizan berkata minyak masak paket bersubsidi antara barangan kawalan yang disenaraikan di bawah Akta 122 selain 11 barangan lain seperti gula, tepung, petrol dan diesel.
Pencarian menerusi media sosial mendapati barangan kawalan itu dijual secara pukal pada harga RM90 bagi tiga kotak yang mengandungi 50 paket minyak masak dan RM900 bagi 50 kotak yang mengandungi 850 paket.