fb fb fb fb fb

Syarikat tempatan dipelawa kemuka permintaan cadangan projek PSPJN

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang

CYBERJAYA, 30 Januari- Kerajaan mempelawa syarikat tempatan di negara ini untuk mengemukakan permintaan cadangan bagi projek Pembangunan Satelit Penderiaan Jarak Jauh Negara (PSPJN) bermula esok.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang berkata projek di bawah seliaan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) itu telah diluluskan oleh Kabinet, menerusi Kerjasama Awam Swasta dan dijangka akan dilancarkan pada 2026.

Beliau berkata pelawaan akan dibuka dalam tempoh enam bulan bagi memberi ruang kepada syarikat tempatan mencari rakan niaga luar bagi tujuan kerjasama melibatkan teknologi canggih yang belum ada dalam negara.

"Remote sensing, image satellite, sekarang kita ada guna juga, cuma kita beli dari syarikat luar negara yang mereka ada kepakaran 'remote sensing satellite' mereka sendiri. Kita perlu ada kedaulatan negara di ruang udara dan juga perlu jimatkan kos negara. Sekiranya kita ada keupayaan untuk membangunkan 'satellite remote sensing' sendiri, ia akan memberikan banyak manfaat termasuk menjimatkan kos dan keselamatan data.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) di Cyberjaya.

Terdahulu, dalam ucapan sempena Amanat Menteri kepada MOSTI, beliau menggariskan lima sektor yang perlu diberi penekanan dan bakal memacu pertumbuhan ekonomi negara untuk jangka masa panjang.

Ia merangkumi teknologi kecerdasan buatan (AI), ekonomi hidrogen, teknologi angkasa, bidang bioteknologi keterjaminan makanan dan perubatan jitu serta ekosistem syarikat pemula akan diberi keutamaan kementeriannya.

ROSLINA BINTI DIN