fb fb fb fb fb

Syarikat swasta digalak labur dalam projek teknologi baharu

Datuk Seri Mohamad Sabu

PUNCAK ALAM, 26 Jun- Syarikat swasta digalak melabur dalam projek-projek teknologi baharu berasaskan pertanian lestari yang boleh memberi manfaat kepada para petani.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, selain memberi manfaat kepada ekonomi, projek sedemikian juga dapat menangani isu alam sekitar.

"Sebarang teknologi baharu amat kita alu-alukan. Mereka boleh ambil semua tahi ayam di Malaysia kemudian tukar kepada makanan haiwan. Ia juga boleh dijadikan baja dan sebagainya.

"..dan boleh memberi manfaat kepada petani di Malaysia. Paling penting ia merendahkan karbon dan selain mempromosi teknologi hijau. Jadi kita memberi sokongan projek seperti ini," katanya dalam Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian antara syarikat bioteknologi dan inovasi, Imago Engineering Sdn Bhd dan Antah Global Ventures, di sini.

Projek Imago bernilai lebih AS$1 bilion itu menggunakan sisa pembuangan ternakan ayam yang diproses menggunakan sistem bioreaktor tertutup.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI