KUALA LUMPUR, 21 Mac- Filem terbitan syarikat produksi yang didapati tidak membayar gaji pekerja akan ditahan daripada tayangan.
Ini melibatkan syarikat yang menerima Dana Kandungan Kreatif (DKK) oleh kerajaan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata ketika ini terdapat dua filem yang ditahan tayangan susulan isu berkenaan.
"Dua filem yang kita dapati tidak membayar kru, walaupun pihak penerbit telah menerima DKK. Jadi, telah siap dibayar, tetapi pekerja tidak menerima bayaran gaji.
"Jadi, kita telah menghalang tayangan dan memaklumkan kepada mereka untuk melangsaikan hutang serta melunaskan bayaran-bayaran ini.
"Kemudian, barulah kita akan benarkan mereka memohon, terutamanya dalam Skim Wajib Tayang," katanya kepada pemberita pada Sambutan Hari Seniman 2025 di sini.