KUALA LUMPUR, 8 September - Sebanyak 130 projek telah diberikan kepada syarikat milikan orang asli sepanjang tempoh Rancangan Malaysia ke -12 (RMK12).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memaklumkan, seramai 449 usahawan turut menerima geran dengan hampir separuh daripadanya berjaya meningkatkan pendapatan sehingga 30 peratus dalam tempoh sama.
“Seramai 243 usahawan turut dilibatkan dalam Karnival Usahawan Desa dan Karnival Orang Asli dengan yang merekodkan jualan bernilai lebih RM839,000.
“Selain itu, MARA melalui platform BizNetwork dan Program Pendigitalan Perniagaan MARA (Digital) telah melaksanakan latihan pendigitalan dan pemasaran e-dagang untuk memperkukuh daya saing mereka,” ujarnya.
Tambah beliau, MARA turut melaksanakan program ‘Gate To Global’ melibatkan usahawan orang asli bagi membolehkan mereka memasarkan produk ke peringkat antarabangsa.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan oleh Senator Shahrol Wizan Sulong mengenai inisiatif tambahan kementerian bagi memperluas penglibatan usahawan orang asli dalam projek pembangunan selain membuka peluang akses pasaran antarabangsa di Dewan Negara, hari ini.