fb fb fb fb fb

Syarikat media digalak guna AI, tingkat mutu kandungan - Fahmi

Foto FB Menteri

BEIJING, 27 September- Organisasi media di Malaysia digalak menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) selari kepesatannya, dalam meningkatkan mutu kandungan.

Perkara itu dapat dilihat menerusi syarikat media China, China Media Group (CMG) yang menerajui penyiaran dengan definisi ultra tinggi, 8K.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata bahawa kepakaran teknologi dan kemahiran teknikal syarikat tersebut wajar dicontohi stesen penyiaran negara, kerana turut membantu menjimatkan kos.

"Mereka ada beberapa teknologi, manfaatkan. Saya lihat ada penjimatan yang mereka lakukan. Perkara ini saya minta dikaji oleh pihak RTM dan BERNAMA.

"Selain itu, saya sangat teruja melihat keupayaan bakat-bakat muda dalam CMG yang menghasilkan kandungan AI baharu ataupun 'Augmented Reality' dan beberapa teknologi baharu," kata Fahmi, hari ini.

Tambah beliau, Malaysia patut lebih terbuka melihat ruang kerjasama dengan mana-mana organisasi media termasuk CMG, yang mempunyai kepakaran teknologi media.

Selain menggunakan AI dalam penghasilan kandungan, beliau turut melihat potensi kerjasama dalam pertukaran kandungan berita antara kedua-dua negara untuk mempromosikan keunikan masing-masing.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan pengurusan CMG diketuai Naib Presiden syarikat itu Xing Bo, sebelum meninjau operasi dan melihat sendiri teknologi yang digunakan syarikat media itu.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM