fb fb fb fb fb

Syarikat kenderaan berat, perdagangan diingatkan pantau pemandu menerusi GPS

Ops Patuh Bersepadu di Plaza Tol Juru

JURU, 24 November- Pemilik syarikat kenderaan berat dan perdagangan diingatkan untuk sentiasa memantau pemandu mereka menerusi Sistem Pengesanan Global (GPS) bagi mengelak terlibat dalam sebarang kemalangan maut.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang, Datuk Adenan Md Isa berkata kegagalan untuk berbuat demikian boleh menyebabkan lesen mereka digantung bagi satu tempoh yang ditetapkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD). Ia sekaligus boleh mendatangkan risiko kepada perniagaan mereka.

Beliau berkata, pihaknya akan mengesyorkan tindakan penggantungan lesen selepas melakukan audit keselamatan sekiranya pemandu dari mana-mana syarikat terlibat dalam kemalangan maut yang berpunca daripada kecuaian mereka.

Sementara itu, sebanyak 536 notis dikeluarkan kerana pelbagai kesalahan. Antaranya adalah menggunakan lorong kanan berterusan, menggunakan telefon bimbit, tiada lesen memandu dan lesen kenderaan motor tamat tempoh.

Beliau berkata demikian selepas ditemui dalam Ops Patuh Bersepadu di Plaza Tol Juru, malam tadi.

Operasi turut disertai Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

ROSLINA BINTI DIN