
KANGAR, 20 Mac – Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Perlis mempergiat pelaksanaan Op Perantau dan Op Kutipan Sampah Pukal Mega Raya sempena sambutan Aidilfitri.
- Operasi dilaksanakan 7 hingga 21 Mac melibatkan premis kediaman, kawasan tumpuan dan tapak bazar Aidilfitri.
- Tujuan memastikan kebersihan persekitaran dan pengurusan sisa pepejal teratur menjelang Aidilfitri.
- Sesi libat urus bersama masyarakat memberi nasihat serta pendedahan mengenai kepentingan menjaga kebersihan.
- Konsesi meningkatkan kekerapan kutipan, menggerakkan tenaga kerja dan logistik bagi pelupusan cekap.
Usaha tersebut bagi memastikan tahap kebersihan persekitaran sentiasa terjaga.
Pengarah SWCorp Negeri Perlis, Fadil Idris berkata inisiatif tersebut dilaksanakan bermula sejak 7 hingga 21 Mac melibatkan premis kediaman, kawasan tumpuan orang ramai serta tapak bazar Aidilfitri di seluruh negeri.
Pelaksanaan Op Perantau dan kutipan sampah pukal ini bukan sahaja bagi memastikan kebersihan persekitaran terjaga, malah memberi peluang kepada masyarakat untuk mengurus sisa pepejal secara lebih teratur menjelang Aidilfitri.
“Kesedaran masyarakat memainkan peranan penting dalam memastikan persekitaran kekal bersih dan kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi menjayakan usaha ini, khususnya menjelang musim perayaan.
Sepanjang operasi berlangsung, SWCorp Negeri Perlis turut mengadakan sesi libat urus bersama masyarakat dengan memberi nasihat serta pendedahan mengenai kepentingan menjaga kebersihan persekitaran.
Beliau memaklumkannya pada Program Ops Perantau dan Ops Kutipan Sampah Pukal Mega Raya di Taman Bukit Kayangan, Kangar.
Sepanjang tempoh operasi ini, pihak konsesi turut meningkatkan kekerapan kutipan dengan menggerakkan tenaga kerja dan logistik secara optimum bagi memastikan semua sisa dapat dilupuskan dengan cekap tanpa menjejaskan kebersihan persekitaran.
Pelaksanaan operasi ini diharap dapat mewujudkan suasana yang lebih bersih, ceria dan kondusif menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri serta memupuk budaya kebersihan dalam kalangan masyarakat selaras dengan aspirasi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang bersih, indah dan sejahtera.