
TEMERLOH, 15 Mac – Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang mempertingkatkan pemantauan serta penguatkuasaan di kawasan tumpuan awam termasuk lokasi yang sering dikenal pasti berlaku pembuangan sampah sempena sambutan Aidilfitri.
- Penumpuan pemantauan di kawasan hotspot, termasuk Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama yang dikenalpasti menghadapi isu pembuangan sampah tidak terkawal.
- Pelaksanaan Perintah Khidmat Masyarakat bagi kesalahan membuang sampah kecil sebagai pendekatan mendidik masyarakat bertanggungjawab terhadap kebersihan.
- Tindakan penguatkuasaan: 158 NPK dikeluarkan, 26 dihadapkan ke mahkamah, 16 dijatuhkan hukuman; 641 kain rentang dipasang.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, antara kawasan yang turut diberi perhatian ialah Lingkaran Tengah Utama (LTU) yang sebelum ini dikenal pasti berdepan isu pembuangan sampah tidak terkawal.
Pelaksanaan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) bagi kesalahan membuang sampah kecil merupakan pendekatan menyeluruh bagi mendidik masyarakat agar lebih bertanggungjawab terhadap kebersihan persekitaran.
“Pihak SWCorp akan terus meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan di kawasan tumpuan awam, termasuk di lokasi panas atau hotspot yang sering dikenal pasti berlaku pembuangan sampah secara tidak bertanggungjawab.
“Ini termasuk di Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama atau CSR yang melalui Kuala Lipis, yang sebelum ini dikesan mempunyai kes pembuangan sampah tidak terkawal. Jadi, saya berharap pihak SWCorp akan terus mempertingkatkan pemantauan di kawasan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sesi libat urus pelaksanaan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) bagi kesalahan membuang sampah kecil, di Hentian R&R Temerloh.
Sepanjang pelaksanaan PKM sehingga hari ini, sebanyak 158 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) telah dikeluarkan SWCorp Pahang.
Notis itu melibatkan 140 warga tempatan dan 18 warga asing. Daripada jumlah itu 26 individu telah dihadapkan ke mahkamah dengan 16 kes dijatuhkan hukuman.
Manakala baki kes masih menunggu sebutan. Sementara itu, sebanyak 641 kain rentang telah dipasang di Pahang dalam usaha menyokong pelaksanaan PKM. Daripada jumlah itu 371 dalam bahasa Melayu dan dwibahasa, 270.