fb fb fb fb fb

SVTP bakal bawa pelaburan RM14 bilion, pacu 13,000 peluang pekerjaan

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad /FOTO saaranimohamadofficial

IPOH, 8 Januari- Projek Silver Valley Technology Park (SVTP) dijangka mampu membawa masuk pelaburan langsung asing (FDI) dan domestik, bernilai RM14 billion dalam tempoh lima hingga 10 tahun.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, projek yang terletak di antara kawasan perindustrian Kanthan dan Bandar Meru Raya itu bakal membuka peluang 13,000 pekerjaan serta memacu pertumbuhan ekonomi negeri.

Jelasnya, ia merupakan usaha sama antara Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) dengan anak syarikatnya, Perak Corporation Berhad bersama rakan strategik AdvanceCon Holdings Berhad.

"Saya cukup optimis bahawa pembangunan SVTP ini akan memberikan alternatif kepada graduan negeri Perak untuk menggalakkan mereka kembali menyumbang kepada negeri melalui peluang pekerjaan yang disediakan", kata Saarani kepada pemberita selepas majlis pemeteraian Perjanjian Usaha sama SVTP di sebuah hotel, di sini.

Ujarnya, SVTP mampu meletakkan Perak pada garis revolusi industri melalui kolaborasi pintar dan pacuan inovasi dalam sektor yang strategik.

Turut hadir, Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee dan Ketua Eksekutif PKNPk, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD