KUALA LUMPUR, 9 Februari- Suspek yang melepaskan tembakan di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam, Selangor, malam tadi disyaki berada bawah pengaruh bahan terlarang.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain memaklumkan perkara tersebut selepas hasil risikan awal pihak berkuasa dan usaha mengesan suspek giat dijalankan polis Selangor dengan bantuan Bukit Aman.
"Kita sudah melancarkan usaha mengesan suspek insya-Allah kita dapat menyelesaikan masalah ini ataupun kes ini dalam masa terdekat.
"Tiada motif, saya rasa apa yang kita tahu suspek menembak pekerja pembersihan kerana menegur untuk mengalihkan barang. Hasil risikan mendedahkan bahawa suspek dalam pengaruh barang terlarang.
"Sekiranya kita dapat mengesan suspek dengan lebih mendalam, kita akan semak rekod pemilikan senjata api ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian dan Pelancaran Perayaan 60 Tahun Silat Cekak di Angkasapuri Kota Media di sini.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan hari ini dilaporkan berkata suspek sedang diburu merupakan seorang lelaki warga tempatan berumur 30-an, berkulit cerah dan mempunyai 11 rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.
Kes disiasat bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan.