fb fb fb fb fb

Suspek tembak KLIA dalam proses cerai, ada dua laporan ugutan jenayah

Foto BERNAMA

SEPANG, 14 April- Suspek kes tembakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi tadi tidak memiliki lesen menembak dan mempunyai dua laporan ugutan jenayah terhadapnya sebelum ini.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, dua laporan tersebut dibuat pada Disember tahun lepas dan tahun 2016.

"Dan kami telah menghantar kertas siasatan namun ada beberapa arahan lain yang kita perlu laksanakan dan saya rasa mengambil daripada insiden terakhir itu, isteri (mangsa) mengambil keputusan menggaji pengawal peribadi.

"Suspek sebelum ini mempunyai dua kes jenayah, satu dilaporkan pada 2016. Satu dilaporkan pada 2023," katanya menerusi sidang media di KLIA.

Beliau turut menambah, suspek juga mempunyai kes jenayah di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan juga Seksyen 170 Kanun Keseksaan.

Pihak polis turut difahamkan, isterinya yang juga menjadi target kes tembakan pagi tadi turut dalam proses perceraian dengan suspek.

Kes diklasifikasikan sebagai kes cubaan bunuh yang disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Akta Senjata 1960.

Dalam pada itu, Mohd Shuhaily berkata mangsa tembakan itu masih berada dalam keadaan kritikal.

Beliau berkata tembakan tersebut mengenai perut mangsa dan keadaan beliau masih belum stabil.

"Tembakan yang dilepaskan suspek adalah sebanyak dua das dan satu das tersasar manakala satu lagi mengenai pengawal peribadi.

"Dia masih lagi dalam keadaan kritikal.

"Dia mengenai bahagian perut. Dan saya dimaklumkan beliau masih koma 'if i am not mistaken'.

"Bila keadaan beliau kembali stabil, pembedahan selanjutnya akan dilakukan ke atas beliau," kata Mohd Shuhaily.

Tambah beliau, tembakan tersebut bukan secara rambang dan mempunyai target yang mempunyai motif agenda peribadi.

Pihak polis turut dalam proses mengenal pasti saksi di sekitar kawasan kejadian bagi merakam keterangan.

Ketika ini, kesemua operasi bagi mengesan suspek di semua kontinjen negeri dan berdekatan sempadan negara telah digerakkan.

Orang ramai juga diminta untuk tidak menimbulkan spekulasi dan menunggu hingga siasatan polis selesai dijalankan.

Sementara itu, beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengkaji keperluan penambahbaikan sistem keselamatan di KLIA.

Pihaknya akan mengkaji keperluan tersebut berdasarkan beberapa kes jenayah yang pernah berlaku di lapangan terbang tersebut.

"Seperti semua sedia maklum kejadian seperti ini bukan kali pertama di KLIA.

"Namun untuk kawalan keselamatan yang lebih lanjut, lebih khusus, lebih terperinci sememangnya akan dikaji selepas ini.

"Namun ini adalah premis-premis 'private'. Jadi ya, kami akan menyemak semula pengaturan keselamatan di lapangan terbang," katanya.

Artikel Berkaitan:
Kes tembak di KLIA 1, pengawal peribadi cedera parah

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM