fb fb fb fb fb

Suspek rompakan dan bakar kedai di Felda Tersang 1, Sabtu lalu dicekup polis

LIPIS, 25 Julai- Seorang penganggur berusia 50 tahun yang dipercayai melakukan rompakan dan mencederakan mangsanya, serta membakar kedai di Felda Tersang 1, Sabtu lalu berjaya ditangkap di kawasan Ladang Sungai Koyan, Kuala Lipis.

Ketua Polis Daerah Raub, Superitenden Kama Azural Mohamed berkata, suspek ditahan pada pukul 7.15 petang semalam, berdasarkan maklumat orang awam.

Tangkapan dibuat oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Raub, Balai Polis Cheroh, dan D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang.

Ketika tangkapan dibuat katanya, suspek yang beralamat di Felda Tersang 1 itu, telah bertindak agresif dan berlaku pergelutan di antara suspek dan pihak polis.

Pihaknya turut merampas sebuah beg warna hitam berisi wang tunai RM1,420 ringgit dan tiga utas gelang tangan emas.

Jelas beliau, suspek merupakan seorang penagih dadah dan mempunyai 10 rekod lampau di bawah kesalahan dadah dan empat rekod lampau di bawah kesalahan jenayah.

Hasil siasatan awal mendapati, suspek mengaku bertindak secara bersendirian dalam kejadian rompakan hingga mendatangkan kecederaan di kepala dan muka mangsa, serta membakar kedai.

Suspek akan dibawa ke mahkamah hari ini, untuk permohonan reman.


(Mangsa dirompak dan dicederakan suspek)

Media Baharu