fb fb fb fb fb

Suruhanjaya Pekerja Ekonomi Gig, laporan awal dibawa ke Mesyuarat Kabinet esok

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong

KUALA LUMPUR, 4 Jun - Laporan awal berkaitan penubuhan Suruhanjaya Pekerja Ekonomi Gig akan dibentang dalam Mesyuarat Kabinet, esok.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata kertas penubuhan suruhanjaya itu dijangka siap sepenuhnya, Ogos ini.

Beliau berkata laporan yang disediakan dengan kerjasama Universiti Malaya (UM) itu merupakan kertas makluman kerangka kerja bagi penubuhan suruhanjaya berkenaan.

"Kita akan membuat perincian lanjut dan kertas muktamad ataupun terakhir akan siap lengkap pada bulan Ogos nanti. Jadi selepas Mesyuarat Kabinet kita akan dapatkan maklum balas terhadap apa yang kita ada buat masa ini dan daripada maklum balas itu kita akan buat perincian secara lanjut menjurus ke arah selesainya kertas penubuhan ini pada bulan Ogos," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran tajaan caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) dan memorandum persefahaman (MoU) antara Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Grab Malaysia, di sini.

Dalam pada itu, Sim berkata lebih 180,000 rakan pemandu (e-hailing) dan penghantar (p-hailing) Grab Malaysia menerima tajaan caruman Skim keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).

Beliau berkata, tajaan perlindungan itu adalah di bawah kendalian syarikat berkenaan untuk tempoh perlindungan selama 12 bulan bermula dari tarikh mereka didaftarkan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN