Surau IPD Labuan dibenar laksana solat Jumaat

FOTO JAPEN LABUAN

LABUAN, 27 Mac – Surau Musolla Ibnu Sina di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan kini mendapat kebenaran untuk melaksanakan solat Jumaat berkuat kuasa hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Institusi surau perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh pengerusi dan jawatankuasa kariah bagi memastikan fungsi dizahirkan secara holistik.
  • Pentadbiran dan pengurusan kewangan hendaklah dilaksanakan secara telus, berhemah serta mencapai hasil yang berkesan, merujuk garis panduan dan akta.
  • Surau diharap diimarahkan dengan kuliah, tadarus al-Quran dan program kerohanian sebagai pusat pembangunan spiritual kepada warga dan masyarakat setempat.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Hanifuddin Roslan berkata, kelulusan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan (Khas) Bilangan 1 Tahun 2026 yang bersidang pada 11 dan 13 Februari lalu.

Beliau berkata, institusi surau perlu dimanfaatkan secara menyeluruh oleh pengerusi dan jawatankuasa kariah bagi memastikan fungsinya dapat dizahirkan secara holistik.

Menurutnya, aspek pentadbiran dan pengurusan kewangan hendaklah dilaksanakan secara telus, berhemah serta mencapai hasil yang berkesan.

“Pengurusan surau juga perlu sentiasa merujuk Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993, Kaedah-Kaedah Pentadbiran Undang-undang Islam (Jawatankuasa Kariah) 2019 serta garis panduan pengurusan kewangan masjid dan surau bagi memastikan tadbir urus yang teratur,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Labuan, Penguasa Polis Supt Mohd Hamizi Halim berharap surau berkenaan akan terus diimarahkan dengan pelbagai aktiviti keagamaan termasuk kuliah ilmu, tadarus al-Quran dan program kerohanian.

Beliau berkata, kewujudan surau Jumaat itu diharap dapat menjadi pusat pembangunan spiritual bukan sahaja kepada warga IPD Labuan, malah masyarakat setempat.

FOTO JAPEN LABUAN