JASIN, 1 April - Sungai Kesang di Sungai Rambai, akan dijadikan destinasi ketiga bagi perkhidmatan Melaka River Cruise sebagai tarikan pelancongan di Gerbang Selatan negeri itu.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bagaimanapun berkata satu kajian akan dilakukan oleh Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) terlebih dahulu untuk memastikan kesesuaian dan keupayaan sungai tersebut untuk menjalankan perkhidmatan bot pelancong di situ.
"Sebarang keputusan kepada cadangan tersebut bergantung kepada hasil kajian dan sekiranya boleh, sudah pasti kita akan majukan kawasan ini sebagai tempat tarikan pelancong untuk perkhidmatan Melaka River Cruise," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Festival Kuih Tradisional Aidilfitri dan Pelita Raya Melaka di Dataran Riverside Sungai Rambai di sini, pada Ahad.
Dalam perkembangan lain, Ab Rauf berkata bekalan air di Melaka dijamin mencukupi untuk kegunaan penduduk di negeri itu khususnya pada musim perayaan Aidilfitri.
Beliau berkata, paras air di tiga empangan iaitu Empangan Durian Tunggal, Empangan Jus dan Empangan Asahan merekodkan bacaan lebih 80 peratus dan berada dalam keadaan stabil.
"Ini juga menunjukkan paras empangan tidak termasuk dalam tahap kritikal dan membimbangkan selain hujan berturut-turut dalam tempoh dua hari ini juga dilihat dapat meningkatkan paras air di empangan. Namun dalam masa sama pihak kita terus memantau keadaan dan jangan risau pada Hari Raya nanti tetap ada air," katanya.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebelum ini melaporkan Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) mengeluarkan hebahan ramalan kemarau bagi tiga lembangan sungai iaitu Sungai Muda Kedah, Sungai Kelantan dan Sungai Melaka dan kemungkinan menyebabkan gangguan air di beberapa kawasan termasuk Alor Gajah.