fb fb fb fb fb

Sumbangan Asas Rahmah disalur hari ini

PUTRAJAYA, 17 Julai- Sumbangan Asas Rahmah (SARA) disalurkan kepada penerima dari lapan negeri terlebih dahulu, bermula hari ini.

Ia melibatkan negeri Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata sumbangan berjumlah RM100 setiap bulan bagi tempoh enam bulan diberikan untuk meringankan kos sara hidup rakyat yang dikategorikan sebagai miskin tegar berdasarkan data e-kasih.

"Antara bahan-bahan yang boleh dibeli beras, roti, telur, minyak masak, tepung, biskut, mee segera, minuman, makanan dalam tin, bahan perasa, itu sebagai contohlah," katanya.

(Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan)

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Program Handholding "Indirect Tax & Voluntary Disclosure, di sini hari ini.

Penerima dari Perlis, Perak, Pahang, Melaka dan Johor bakal menerima Sumbangan Asas Rahmah pada 31 Julai.

Manakala Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan akan menerima pada 7 Ogos.

Kerajaan Perpaduan telah memperuntukkan hampir RM130 juta bawah inisiatif Payung Rahmah untuk membantu golongan kurang berkemampuan.

Belanjawan 2024 dibentang seminggu lebih awal

Sementara itu, Ahmad Maslan memberitahu Belanjawan 2024 dijadual dibentangkan pada 13 Oktober tahun ini.

Belanjawan 2024 diawalkan seminggu walaupun pada kebiasaanya, akan dibentangkan pada hari Jumaat, minggu ketiga bulan Oktober, setiap tahun.

"Dan kali ini, diawalkan seminggu sahaja lebih awal jadi tidak akan jejaskan apa-apa hanya seminggu lebih awal," katanya.

Belanjawan 2024 berteraskan Memperkasa Ekonomi Madani.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan dasar yang akan diumumkan nanti berteraskan kepada dua sasaran iaitu pertama menjadikan Malaysia Peneraju Ekonomi Asia dan kedua, memastikan Kehidupan Rakyat yang Berkualiti.

Media Baharu