KUALA TERENGGANU, 21 Oktober- Tuanku Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Sultanah Nur Zahirah mencemar duli berangkat menyempurnakan Pelancaran Buku ‘UMT Dua Dekad Meneroka Samudera’.
Baginda turut berkenan melawat Pameran Buku Sejarah UMT tersebut dalam Majlis Santapan Petang Sempena Majlis Konvokesyen UMT Kali Ke-21 di Pusat Konvensyen, Taman Tamadun Islam Kuala Terengganu hari ini.
Turut hadir dalam Majlis Santapan Petang, Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin, Tengku Puteri Utama Raja Dato’ Seri Tengku Nadhirah Zahrah, Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja serta Pro Canselor UMT, Tan Sri Samsudin Osman.
Membawakan tema ‘Dua Dekad Meneroka Samudera’, pameran diadakan bertujuan memberi pendedahan maklumat dan berkongsi sejarah asas penubuhan UMT yang bermula dengan penubuhan Stesen Perikanan dan Sains Samudera pada tahun 1979 sehingga tertubuhnya UMT pada 1 Februari 2007.

Naib Canselor UMT, Profesor Dato’ Dr Mazlan Abd Ghaffar berkata ‘UMT Dua Dekad Meneroka Samudera’ merupakan transformasi dokumentasi yang akan terus diperkaya catatan sejarah pendokumentasian sebagai salah sebuah Universiti awam di Malaysia.
Turut dipamerkan plak perasmian Pusat Perikanan dan Sains Samudera yang telah disempurnakan oleh Almarhum Sultan Terengganu Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah Ibni Al-Marhum Ismail Nasiruddin Shah pada 18 Mac 1981.
Dalam majlis yang sama, turut diadakan penyampaian zakat berjumlah RM2.020 juta kepada Tabung Zakat Pelajar UMT.
Antara penyumbang zakat tersebut adalah Bank Pembangunan Malaysia Berhad, Lembaga Tabung Haji, AmBank Islamic Berhad, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad, Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi dan Kementerian Pendidikan Tinggi.
Sumbangan zakat dari pelbagai agensi dan syarikat korporat ini dalam pelbagai bentuk seperti dana zakat, bantuan pendidikan dan juga geran projek.
Seramai 2,388 graduan UMT yang terdiri daripada 196 graduan pasca siswazah dan 2,192 graduan Pra Siswazah akan diraikan dengan penuh istiadat dan gilang gemilang dalam Majlis Konvokesyen UMT Kali Ke-21 yang berlangsung selama enam sesi bermula esok sehingga 24 Oktober 2023.