KUALA TERENGGANU, 14 April- Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah supaya kerajaan negeri memperkukuh hubungan serta mengeratkan lagi jalinan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan pelaksanaan dasar dan inisiatif pembangunan yang berkesan.
Sultan Mizan bertitah demikian sempena Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas kelulusan sebanyak 408 projek pembangunan dengan peruntukan berjumlah RM13.56 bilion sepanjang pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).
Titah baginda, pelaksanaan projek berkenaan memberi pelbagai manfaat kepada rakyat Terengganu termasuk mempertingkatkan kemudahan infrastruktur serta memperkukuh daya saing komuniti secara menyeluruh.
Sultan Mizan bertitah, kerajaan negeri juga perlu terus menggandakan usaha menarik lebih ramai pelabur bagi meneroka potensi besar yang terdapat di Terengganu, selain memastikan pentadbiran negeri bersikap lebih cekap, responsif dan proaktif dalam memenuhi keperluan pelabur.
Dalam masa sama, baginda turut menyarankan agar kerajaan negeri mengambil peluang mempromosikan keindahan serta keunikan sektor pelancongan Terengganu kepada delegasi antarabangsa sempena pemilihan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN.
Langkah itu termasuk meneroka dan memperkaya produk pelancongan baharu yang berdaya saing dan berpotensi menarik perhatian pelancong dari seluruh dunia.