fb fb fb fb fb

Sultan Sharafuddin berkenan sempurnakan perisytiharan Hutan Warisan Diraja Selangor

Sultan Sharafuddin menyempurnakan perisytiharan Hutan Warisan Diraja Selangor di sini hari ini/ BERNAMA

SHAH ALAM, 28 November- Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mencemar duli berangkat menyempurnakan perisytiharan Hutan Warisan Diraja Selangor di sini hari ini.

Berangkat sama Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Pada majlis itu baginda turut berkenan melancarkan buku ‘Pelan Induk Pembangunan Hutan Warisan Diraja Selangor’ selepas baginda melafazkan titah pengisytiharan.

Hadir sama, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Mohd Ridza Awang serta Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar negeri, Jamaliah Jamaluddin.

Baginda turut mencadangkan kerajaan negeri melanjutkan tempoh dasar pembalakan pemantauan, yang kini ditetapkan selama 25 tahun, untuk tidak membenarkan sebarang aktiviti pembalakan di dalam hutan simpan kekal sejak 2009.

Hutan Warisan Diraja Selangor berkeluasan 108,000 hektar merupakan Hutan Taman Negeri di bawah satu daripada pengelasan hutan perlindungan iaitu Seksyen 10, Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negeri Selangor 1985.

Ia adalah usaha konsisten kerajaan Selangor untuk memelihara dan melindungi khazanah hutan negeri supaya dapat berfungsi sebagai kawasan tadahan air, habitat flora dan fauna, kawalan hakisan dan banjir selain menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon serta menangani isu perubahan iklim.

Sehingga kini, hutan simpanan kekal di Selangor adalah seluas kira-kira 250,700 hektar iaitu 31.7 peratus daripada keluasan tanah negeri.

ZEHRA BINTI ZAMBRI