fb fb fb fb fb

Sultan Selangor zahir ucapan tahun baharu

Foto Facebook Selangor Royal Office

KUALA LUMPUR, 31 Disember- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Al Haj, bersama Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin, menzahirkan ucapan Selamat Tahun Baharu 2025 kepada seluruh rakyat Selangor dan Malaysia.

Menerusi kenyataan di laman rasmi Selangor Royal Office di Facebook, Baginda berharap tahun baharu ini membawa kemajuan dan kemakmuran kepada negara.

"Sempena tahun baharu ini, Beta menyeru agar sekalian rakyat tidak kira agama, bangsa dan fahaman politik, menanam azam baharu untuk lebih fokus kepada usaha membangun ekonomi dan bekerja lebih kuat demi memajukan negara dalam semua bidang.

"Beta tidak mahu ada pihak-pihak yang masih bertelagah, khususnya di kalangan pemimpin, komuniti perniagaan, penjawat awam yang tamakkan kuasa dan kemewahan.

"Beta sering perhatikan bahawa pertelagahan seumpama ini kerap menjadi punca kepada timbulnya fitnah-fitnah jahat dan adu domba serta penyebaran maklumat palsu khususnya di media sosial," titah baginda menerusi hantaran itu.

Baginda turut menyeru rakyat agar terus bersatu padu tanpa mengira agama, bangsa, dan fahaman politik demi menjamin keharmonian serta kesejahteraan bersama.

Dalam perutusan tersebut, Sultan Selangor menasihatkan rakyat untuk menjauhi amalan fitnah, adu domba, dan cubaan membunuh karakter yang disifatkan semakin membimbangkan.

"Sejak kebelakangan ini, Beta juga khuatir dengan cubaan-cubaan membunuh karakter atau ‘character assassination’ yang semakin berleluasa dengan niat untuk memberi persepsi negatif terhadap individu tertentu.

"Lazimnya, ‘character assassination’ ini hanya berlaku di musim pilihanraya, namun kini Beta dapati ia digunakan untuk memusnahkan kepercayaan dan seterusnya menjatuhkan individu tertentu," titah baginda.

Dalam pada itu baginda turut menekankan kepentingan membanteras rasuah di semua peringkat dengan memastikan integriti menjadi keutamaan dalam pentadbiran negara.

"Di tahun baharu ini juga, Beta mahu rakyat sama-sama berazam membanteras gejala rasuah di semua peringkat dengan meningkatkan penguatkuasaan dan yang paling penting, mengutamakan integriti dalam nilai-nilai kehidupan harian.

"Ingatlah, bahawa sebuah tamadun boleh runtuh hanya disebabkan oleh rasuah yang berleluasa dan tidak terkawal. Beta percaya untuk menjadi sebuah negara yang maju, rakyatnya haruslah saling hormat menghormati, berfikiran positif dan bersatu padu," titah baginda.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI