SHAH ALAM, 23 Januari- Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah AlHaj bertitah supaya Lembaga Zakat Selangor, LZS memperuntukkan bantuan asnaf riqab bagi pemulihan ahli Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn Bhd, GISBH.
Baginda bertitah, peruntukan dana khusus yang sewajarnya ini bagi pemulihan dalam memperbetulkan dan meluruskan aqidah mereka.
"Beta juga ingin mengingatkan kepada LZS bahawa agihan zakat hendaklah disalurkan kepada golongan asnaf sebenar yang layak menerimanya sebagaimana Firman Allah swt di dalam surah At Taubah ayat ke-60, huraian kepada lapan asnaf yang berhak menerima agihan zakat hendaklah dirujuk kepada fatwa yang telah diputuskan.
"Lebih-lebih lagi dalam proses pemulihan golongan yang terlibat dengan ajaran salah seperti kumpulan Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn Bhd," katanya.
Dalam pada itu, baginda menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian LZS dari segi inovasi yang telah menjadi contoh ikutan kepada banyak negara seperti Indonesia dan Thailand.
Namun, baginda bertitah, agar aspek-aspek tadbir urus sentiasa ditambah baik dengan menerapkan pengurusan korporat yang mementingkan kecekapan, kredibiliti dan menjangkau masa hadapan disamping piawaian dan ketetapan syariah.
Sultan Sharafuddin bertitah demikian ketika berkenan menyempurnakan perasmian Menara Zakat Sultan Idris Shah di Shah Alam, hari ini.
Turut berkenan berangkat, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.
Baginda turut diiringi Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Sultan Selangor dalam titah perasmian berkongsi rasa bangga dan sukacita dengan pencapaian serta inovasi LZS sejak ditubuhkan pada 1994, sehingga menjadi ikutan negara luar dari aspek pengurusan zakat.
Titah baginda, selaku institusi tunggal menguruskan zakat di Selangor, LZS telah melakukan pemodenan dan penambahbaikan dalam pengurusan zakat dari aspek kutipan dan agihan serta pembangunan asnaf, yang memberi manfaat besar kepada umat Islam.
“Apa yang membanggakan beta, pengurusan zakat Selangor juga telah menjadi contoh ikutan kepada banyak negara seperti Indonesia, Thailand dan beberapa negara lain yang tertarik melihat inovasi zakat di Selangor, yang telah memberi manfaat yang cukup banyak kepada umat Islam,” titah baginda.
Sultan Sharafuddin bertitah mahukan LZS terus menambah baik aspek tadbir urus dari semasa ke semasa dengan menerapkan pengurusan korporat yang mementingkan kecekapan, kredibiliti dan menjangkau masa hadapan berpandukan piawaian dan ketetapan syariah.
Titah baginda LZS perlu melihat kaedah bantuan terbaik kepada asnaf dan bagaimana ia mampu membina kehidupan mereka secara berdikari dan konstruktif, berpandukan peraturan dan panduan syarak.
Kaedah itu termasuk sentiasa turun padang bagi mengemas kini data dan mendapatkan maklumat terkini berkaitan penerima yang layak menerima zakat berpandukan pendapatan isi rumah serta kemampuan kewangan mereka.
Dalam hal itu, Sultan Sharafuddin menyarankan agar khidmat ketua-ketua kampung, penghulu dan pegawai-pegawai agama daerah digunakan untuk menyalurkan maklumat, bagi mengenal pasti golongan asnaf tersebut disamping tidak melupakan rakyat di bandar yang jatuh bawah satu daripada lapan kategori asnaf.
Baginda juga bertitah mengingatkan semua peringkat kutipan termasuk amil agar sentiasa jujur dan amanah serta menjaga integriti dan memastikan tiada penyalahgunaan kuasa, kerana ia merupakan satu dosa yang amat besar jika amanah tersebut dikhianati.