KUCHING, 29 Jun- Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Norashikin hari ini berkenan berangkat melawat ke Muzium dan Galeri Yayasan Tun Jugah (YTJ) di Kuching dalam lawatan rasmi pasangan Diraja itu ke Sarawak.
Keberangkatan tiba baginda berdua ke Yayasan Tun Jugah disambut Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar, ADUN Bukit Goram, Jefferson Jamit dan Pengerusi YTJ, Tan Sri Leonard Linggi Jugah.
Baginda berdua berkenan melihat sendiri koleksi khazanah tradisional kaum Dayak di YTJ khususnya keunikan tenunan kain Pua Kumbu.
Turut bersama mengiring pasangan Diraja ke Muzium dan Galeri Yayasan Tun Jugah ialah Pengurus YTJ, Melia Linggi.
Baginda berdua serta rombongan dijadualkan berangkat balik pada esok.