fb fb fb fb fb

Sultan Selangor perkenan terima zakat perniagaan RM3.97 juta

Foto BERNAMA

KUALA LANGAT, 2 April- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima zakat perniagaan daripada tiga syarikat berjumlah keseluruhan RM3.97 juta di Masjid Bandar Saujana Putra, Kuala Langat.

Syarikat berkenaan adalah Bank Islam Malaysia Berhad, MAHSA University dan Malaysia Airports Holdings Berhad.

Menerusi Majlis Perasmian Masjid Dan Majlis Berbuka Puasa Sultan Selangor Bersama Rakyat Serta Penyampaian Sumbangan Hari Raya, baginda juga berkenan menyampaikan sumbangan Hari Raya berjumlah RM214,500 kepada 429 penerima asnaf, fakir miskin dan mualaf dari daerah Kuala Langat.

Baginda turut merasmikan Masjid Bandar Saujana Putra yang mula dibina pada Disember 2020 dengan kos RM10.9 juta.

Masjid di atas tanah berkeluasan tiga ekar itu mampu memuatkan sehingga 3,000 jemaah pada satu-satu masa.

Berangkat sama pada majlis tersebut, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dengan diiringi Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM