fb fb fb fb fb

Sultan Selangor perkenan fatwa berkenaan GISBH

Foto facebook Selangor Royal Office

SHAH ALAM, 3 Oktober- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj telah memberi perkenan kepada fatwa terkini berkenaan fahaman, ajaran, pegangan atau amalan Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) dan rangkaiannya.

Selangor Royal Office menerusi kenyataan di facebook memaklumkan keputusan hasil Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 30 September 2024 itu disembah maklum kepada Baginda untuk diperkenankan oleh Pengerusinya, Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor Dato’ Dr Haji Anhar Haji Opir, di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.

"Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor telah berpuas hati dan meyakini bahawa pemimpin, pengikut, pekerja atau ahli GISBH dan rangkaiannya telah dan masih mengamalkan Aurad Muhammadiah.

"... atau Zikir Agung yang dibawa oleh kumpulan Darul Arqam yang telah diputuskan menyeleweng daripada akidah Islam yang sebenar menurut Warta No. 54 yang disiarkan pada 4 Februari 1993.

Jawatankuasa tersebut memutuskan fahaman, ajaran, pegangan atau amalan GISBH dan rangkaiannya mempunyai ciri-ciri yang menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar menurut pegangan Ahli Sunah Waljamaah dari aspek akidah dan syariat.

"Apa-apa variasi, bentuk atau cabang mana-mana fahaman, ajaran, pegangan atau amalan baru yang mempunyai persamaan dengan semua atau sebahagian daripada elemen-elemen fahaman, ajaran, pegangan atau amalan ini adalah disifatkan menyeleweng dan bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar menurut pegangan Ahli Sunah Waljamaah.

Butiran lanjut mengenai fatwa terkini ini akan dihuraikan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor.

ROSLINA BINTI DIN