PETALING JAYA, 5 April- Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melahirkan rasa bangga dan terharu apabila melihat sendiri perpaduan, kerjasama dan sifat tolong-menolong antara satu sama lain yang dipamerkan oleh orang Melayu di negerinya terutama pada bulan Ramadan.
Baginda berharap orang Melayu akan terus mengambil jalan perpaduan dan memperkukuh keharmonian demi menunjukkan kekuatan bangsa dan ummah.
Titah baginda, sekiranya Selangor yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama ingin lebih maju dan progresif, perpaduan dan kerjasama yang terjalin dalam kalangan rakyat ketika ini perlu dipertahankan dan terus ditingkatkan serta jauhi sikap berprasangka buruk antara satu sama lain.
"Negara yang rakyatnya tidak bersatu padu dan berpecah belah, tidak akan dapat mencapai kemajuan dan kejayaan yang diharapkan. Oleh itu, beta menyeru kepada pemimpin-pemimpin politik agar memainkan peranan mereka bagi menyatupadukan rakyat dan tidak mengeruhkan keadaan dengan membangkitkan isu yang boleh membawa kepada perpecahan dalam kalangan rakyat.
"Mereka hendaklah memikirkan pendekatan terbaik untuk menyatupadukan rakyat seperti mengambil pendekatan menggunakan platform media sosial bagi membentuk rasa hormat-menghormati dan persefahaman antara satu sama Iain demi menjamin keharmonian hidup bermasyarakat di negara kita.
"Beta sentiasa mendoakan agar orang Melayu Islam di negeri beta ini dijauhi daripada sifat dan sikap yang tidak baik dan dilarang oleh Islam seperti menipu, mengadu domba, memfitnah dan mencaci. Beta tidak mahu sikap-sikap buruk ini terus berleluasa khususnya di media-media sosial," titah baginda pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat di Masjid Damansara Perdana dekat sini malam ini.
Berangkat sama Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.
Sultan Sharafuddin turut menzahirkan kebimbangan dengan sikap buruk dan dilarang agama itu yang menurut baginda telah mula menular dalam kalangan segelintir golongan terpelajar.
Titah baginda mereka ini didapati menggunakan agama, kedudukan dan populariti untuk meraih sokongan masyarakat serta sanggup melihat umat Islam berpecah belah.
“Beta dapati akhir-akhir ini ramai yang mengaku diri mereka sebagai agamawan atau ilmuwan dan telah cuba mempengaruhi rakyat dengan menyampaikan pendapat dan hujah mengenai isu agama namun sebaliknya mempunyai agenda peribadi yang tersembunyi bak kata pepatah Melayu 'ada udang di sebalik batu' dalam setiap tindakan yang dibuat.
"Oleh yang demikian, beta suka menasihatkan kepada seluruh umat Islam supaya sentiasa berwaspada dan bijak dalam menilai siapa yang sebenarnya ulama sejati dan siapa yang hanya mempergunakan agama untuk kepentingan peribadi atau kumpulan tertentu,” titah baginda.
Terdahulu, Sultan Sharafuddin berkenan menamakan masjid yang dibina dengan kos RM15 juta dan mula beroperasi pada Mac 2023 serta mampu memuatkan hingga 3,200 jemaah pada satu-satu masa itu sebagai Masjid Damansara Perdana.
Baginda juga berkenan menyampaikan sumbangan raya kepada 172 anak yatim dari daerah Petaling sebelum menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Tarawih bersama rakyat.
Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari, Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi negeri Dr Mohammad Fahmi Ngah, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor Datuk Mohd Shahzihan Ahmad.