fb fb fb fb fb

Sultan Selangor: Jauhi politik kebencian, elak fitnah institusi raja

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj/Foto FB Royal Selangor

SHAH ALAM, 30 Ogos - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, menyeru rakyat untuk terus memupuk perpaduan dan mengharmonikan hubungan sesama tanpa terpengaruh dengan unsur negatif yang melibatkan isu raja, agama, dan kaum (3R).

Bersempena sambutan Hari Kebangsaan, baginda bertitah bahawa dalam usaha menegakkan konsep demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan, institusi raja tidak seharusnya diheret ke dalam kancah tohmahan dan fitnah berkaitan isu politik.

"Saya tidak akan jemu untuk terus menasihati rakyat agar sentiasa memupuk semangat perpaduan yang tinggi dan meraikan perbezaan antara kaum, agama, dan fahaman politik

"Institusi Raja adalah ‘above politics’ (di atas politik), oleh itu sebarang bentuk teguran dan kritikan terhadap pemerintah serta institusi raja seharusnya disuarakan melalui saluran betul dan dilaksanakan secara berhemah.

"Segala perbezaan antara kaum, agama dan fahaman politik janganlah dijadikan penghalang bagi rakyat Malaysia memberikan taat setia kepada negara," titah baginda.

Sultan Sharafuddin juga menasihati para pemimpin dan ahli politik untuk menjauhi politik kebencian yang masih diamalkan oleh segelintir pihak.

Baginda menegaskan bahawa usaha perlu dilakukan dengan berhemah untuk mengadakan program yang dapat merapatkan jurang pemisah, demi mengikis prasangka buruk dalam kalangan rakyat.

"Rakyat perlu bersatu hati untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang berdaya saing, maju, dan makmur serta menjauhi hasad dengki, fitnah, dan adu domba yang boleh memecahbelahkan perpaduan," titah baginda.

GRACE AISYAH KEDAYAN