fb fb fb fb fb

Sultan Selangor berkenan solat Aidiladha bersama-sama lebih 3,000 jemaah

Foto RTM

SHAH ALAM, 17 Jun - Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenaan berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha bersama-sama lebih 3,000 jemaah yang hadir di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, di sini.

Turut berangkat mengiringi baginda ialah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Selesai menunaikan solat sunat Aidiladha, Sultan Sharafuddin  dan Tengku Amir Shah berkenaan bersalam-salaman dengan jemaah.

Sementara itu, khutbah Aidiladha bertajuk 'Ibadah Haji dan Eiduladha Kemuncak Zikrullah' yang disampaikan Timbalan Mufti Negeri Selangor Datuk Dr. Miszairi Sitiris, menyeru agar umat Islam ikhlas melakukan ibadah korban dan berkorban pada jalan Allah sebagaimana kerelaan berkorban yang ditunjukkan Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail.

Dr Miszairi berkata umat Islam juga diingatkan sentiasa berzikir memuji kebesaran Allah SWT supaya hati menjadi tenang dan mengukuhkan keimanan kepada-Nya.

Di Terengganu, Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang, Kuala Terengganu.

Turut berangkat Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah bersama-sama anakanda baginda, Yang Di-Pertuan Muda, Tengku Muhammad Ismail dan Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Datuk Seri Fatimatuz Zahra.

Keberangkatan tiba baginda pukul 7.50 pagi itu diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja.

Solat sunat yang dihadiri lebih 1,500 rakyat jelata itu diimamkan Timbalan Mufti Terengganu, Profesor Madya Dr Syed Hadzrullathfi Syed Omar.

Beliau turut menyampaikan khutbah bertajuk 'Aidiladha Kemuncak Kejayaan Seorang Hamba'.

Selesai menunaikan solat dan bersalaman dengan jemaah, baginda berkenan menziarahi makam diraja yang terletak di pekarangan masjid sebelum berangkat pulang. 

TETITIA YUSOFF